AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

Tanah Jenis Apakah Kita?

 
Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, kita sudah pun berada dalam tahun baru masehi. Selamat Tahun Baru 2011 untuk semua. Semoga tahun ini amal soleh kita bertambah selari dengan jasad kita yang semakin di mamah usia. Di tambah dengan sifat-sifat mahmudah yang sekali gus menghapus sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita, InsyaAllah. Dek kerana terlalu sibuk dengan urusan seharian, bertemu dengan ramai umat manusia, kekadang tersilap atur langkah dan lisan kita. Semoga Allah memelihara kita semua dari tipu daya syaitan dan fitnah dunia lalu mengampun dosa-dosa kita yang sering alpa dan leka.

Dari hadith Mu’adh bin Jabal, “Sesungguhnya engkau sentiasa sejahtera selama engkau diam. Tetapi apabila engkau berkata, ditulis bagi engkau atau atas engkau (yang baik atau yang jahatnya.”

Hadith di atas adalah salah satu ajaran Rasulullah s.a.w. supaya seorang yang beriman selalu mengawasi perkataannya dan membiasakan diamnya kalau diam itu ada faedahnya. Tapi bukanlah diam dalam perkara yang salah dari mengatakan yang haq, diam seperti ini dikatakan syaitan yang kelu. Sebenarnya kali ini saya bukanlah hendak menulis berkenaan hal ‘diam’, tetapi ingin saya kongsikan bersama salah satu dari hadith-hadith tinggalan Rasulullah s.a.w. yang amat kita cintai. Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan, Muhammad s.a.w.

Hadith ini adalah hadith sahih yang begitu penting dan amat bermakna tentang ilmu dan manusia, juga bagi mereka yang mahu berfikir. Riwayat al-Bukhari no. 79 dan Muslim no. 6093, Rasulullah s.a.w. telah membuat perumpamaan tentang hidayah dan ilmu yang dibawa oleh Baginda untuk sekalian alam. Rasulullah s.a.w. telah menjadikan hidayah dan ilmu sebagai “hujan” manakala hati-hati manusia pula Baginda ibaratkan seperti “tanah”. Lalu Rasulullah s.a.w. membahagikan tanah-tanah bumi yang menerima hujan kepada tiga jenis.

Bagi yang pertama, “Di antara tanah itu ada yang suci dan baik, boleh menerima air, lalu tumbuh diatasnya rumput-rumput dan tumbuhan yang banyak.”

Golongan yang dimaksudkan Baginda ialah manusia yang menerima ilmu dan hidayah daripada Allah s.w.t. lalu beramal dan memanfaatkannya untuk diri mereka. Malah mereka juga memberi manfaat kepada orang disekeliling mereka dengan mengajarkan ilmu dan menyebar luaskannya.

Kedua, “Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air, maka dengannya Allah s.w.t. memberikan manfaat orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam.” Golongan kedua yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. ini juga merupakan golongan yang baik. Walaupun mungkin mereka tidak begitu mengambil faedah daripada ilmu yang diperoleh juga kurang terkesan pada diri mereka, namun mereka mampu dan berjaya menyebarkan dan menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain. Dengan yang demikian, ramai manusia yang mendapat faedah berbanding dirinya, sekurang-kurangnya kelebihan menyampaikan ilmu tetap menambahkan sahamnya di akhirat nanti.

Yang ketiga, “Dan hujan itu menimpa pula satu jenis tanah lagi, ia hanyalah tanah gersang, tidak mampu menakumg air dan tidak pula menumbuhkan rumput.” Begitulah jenis golongan ketiga yang diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w., mereka tidak mahu menerima ilmu, dirinya juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain. Disebabkan itu, diakhir bicara, Baginda menyimpulkan dengan penuh kemas jenis-jenis tanah tadi, iaitu :

“Begitulah diibaratkan seseorang yang memahami agama Allah dan dirinya mendapat kebaikan daripada apa yang Allah berikan kepadaku. Dia mengetahui lalu mengajarkan kepada yang lain. Begitu jugalah diibaratkan pula seseorang yang tidak mempedulikan apa yang diberikan kepadaku dan tidak menerima petunjuk Allah yang diutuskan aku dengannya.”

Hadith ini pastikan membuatkan setiap dari kita berfikir dan termenung sejenak. Sejauh mana telah kita manfaatkan ilmu dan petunjuk yakni “hujan” yang Rasulullah s.a.w. maksudkan. Dan hadith ini juga pada hemat saya sama sekali menolak cakap-cakap orang yang selalu berkata “Nak nasihatkan aku,engkau tu dah betul sangat ke?”. Di akhir kata, marilah kita bersama-sama berusaha menjadi tanah yang terbaik dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat untuk bekalan kita di Yaumul Hisab kelak.

Wallahu A’lam…

· Rujukan – Hadith 40, Terjemahan dan Syarahnya – Musata ‘Abdul Rahman
· Pengolahan dari Bahg. Hadis – Ustaz Adlan Abd. Azizi
Posted on 9:32 AM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

0 comments:

Post a Comment

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin