AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

Batas - batas bergurau - "Muhasabah Diri"

Bergurau ada batasnya : Gambar Hiasan
Salam alaik...Semoga semua muslimin dan muslimat sentiasa sihat di bawah rahmat-Nya, InsyaAllah. Saya yakin setiap dari kita pernah bergurau senda. Posting kali ini adalah pertamanya untuk muhasabah diri sesama kita dalam setiap apa yang kita lakukan selaras dengan kehendak dan batas-batas syariat.

Bergurau memang seronok. Kadang-kadang, bergurau boleh membuatkan suasana yang muram menjadi ceria. Yang sepi bertukar gamat. Gurau senda jugalah yang menjadi penambah perisa dalam tautan ukhwah serta mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Adapun, setiap perkara tentulah ada batasnya. Tidak kiralah kegembiraan, kesedihan, lawak jenaka, gurau senda atau apa sahaja. Jikalau berlebihan tanpa batas, hidup boleh jadi huru-hara!
  

Namun, Islam yang syumul ini cukup cantik. Allah S.W.T. tidak pernah membiarkan umatNya terbiar tanpa panduan. Al-Quran dan As-sunnah itu sentiasa ada untuk menjadi rujukan kita. Dalam hal ini mari kita sama-sama merujuk 5 syarat yang telah diletakkan oleh Dr. Yusuf Qardawi dalam bergurau senda.
 
1. Perkara yang hendak dicakapkan itu bukanlah suatu yang bohong hanya semata-mata manusia ketawa.
 
Nabi s.a.w bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له

 "Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia." (HR Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam berbicara, kita dilarang sama sekali menokok tambah dan berkata perkara-perkara yang tidak benar.

2. Tidak mengandungi penghinaan terhadap seseorang melainkan orang tersebut mengizinkannya.

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Nabi s.a.w bersabda:

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

 "Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (HR Muslim - sahih)

Ada masanya kita tak sedar perkara yang kita sangka hanya satu gurauan terhadap sahabat kita, sebenarnya telah mengecilkan hatinya. Jangan sesekali menganggap semua insan adalah seperti kita; tidak merasa apa-apa bila diejek. Masing-masing punya perasaan tersendiri.
Jika ada kekurangan pada diri sahabat, tegurlah dengan cara yang baik. Gurauan yang melampau boleh menjadi asbab kepada putusnya sillaturrahim. Maka, berhati-hatilah.

Ketawa yang berlebihan boleh menyebabkan keras hati & lalai dari mengingati Allah S.W.T


3. Melawak yang tidak menakutkan orang lain.

Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasullulah s.a.w di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat.

Rasulullah s.a.w bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

"Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam." (HR Thabrani - sahih)

Nabi s.a.w bersabda:

لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا

"Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul." (HR Ahmad - sahih)

Gurauan yang tidak kena pada tempatnya juga adalah sangat ditegah. Malah nabi sendiri mengharamkan kita untuk menakut-nakutkan saudara seIslam kita. Berpada-pada lah dalam bergurau. Setiap benda ada hadnya kerana jika tidak memikirkan kesan gurauan yang sepatutnya, hiburan boleh menjadi bala. Maka, berhati-hatilah.

4. Jangan bergurau pada perkara yang perlu serius.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak.

Nabi s.a.w bersabda:

ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق

"Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba." (HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah - sanadnyaHasan)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah S.W.T.:

"Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai."(59 – 61 : an-Najm)

5. Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.

Nabi s.a.w bersabda:

فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ وَلا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ

"Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hr Ahmad dan Ibnu Majah – sanad hasan)

IKTIBAR KISAH RASULULLAH S.A.W.

Etika melawak dan bergelak ketawa.

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda "Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya: "Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya." (Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata "Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:

نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لا أَقُوْلُ إِلا حَقَّا

Maksudnya: Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar. (Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

Khatimah : Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama 'check and balance' diri kita dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang cukup sempurna, tidak kiralah dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar agenda. Dari mula bangun tidur hingga masuk tidur pada malamnya. Setiap tindakan kita terikat dengan hukum syara'. Maka dari itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri agar kita menjadi umat islam yang sentiasa di rahmati oleh yang Maha Pencipta. Sampaikan dariku walau satu ayat...Wallahualam bish'awb..
Posted on 2:45 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

0 comments:

Post a Comment

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin