AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

Tukar Jantina ?? Hukum Menukar Jantina..ISLAM ada Penjelasan...

Astaghfirullah..Baru-baru ni hangat diperkatakan tentang seorang hamba Allah yang sibuk nak menukar jantina dari lelaki kepada wanita. Apa yang tak kena ?? Sebelum tu, kita rujuk dulu berita berkenaan isu ini..

Mahkamah tolak tukar status jantina 
Oleh Abdul Halim Yusoff 

Tiada undang-undang ubah nama dalam MyKad

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak permohonan seorang lelaki menukar nama dalam MyKad dan sijil kelahiran kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, berkata permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, (gambar) yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Mohd Ashraf Hafiz yang membuat permohonan itu pada 25 Mei lalu, membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari sini bagaimanapun tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Horley Isaachs.

“Selepas kes ini diperhalusi dan diteliti daripada semua aspek dan mengambil kira implikasi kepada masyarakat, mahkamah menolak permohonan pemohon.

“Mahkamah juga tidak mempunyai kuasa membuat perisytiharan deklarasi bersabit penukaran gender (jantina) dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon menukar status jantina dalam MyKad dan dalam dokumen pengenalan diri lain pemohon.

“Jantina seseorang ditentukan ketika lahir, jadi Mohd Ashraf Hafiz dilahirkan seperti dinyatakan dalam sijil kelahiran. Berdasarkan hakikat ini, saya dapati tiada kecacatan dalam maklumat dinyatakan dalam sijil kelahiran pemohon,” katanya.

Mohd Yazid berkata, keputusan mahkamah menolak permohonan itu juga kerana mengambil kira hujah Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, yang berjaya meyakinkan mahkamah bahawa permohonan berkenaan tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukan wanita tulen.

Beliau berkata, walaupun pemohon menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah. 

Hukum Menukar Jantina 

Setiap apa yang kita lakukan mestilah selari dengan syariat dan ia semestinya berlandaskan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w adalah agama yang Syumul yakni lengkap@sempurna. Setiap apa yang kita lakukan hari ini semuanya terikat dengan hukum hakam. Ya, hukum hakam yang di gali dari Al-Quran, Hadith Nabi, Ijmak dan Qiyas.

Kajian secara mudah hukum menukar jantina
Mari kita kaji secara mudah dan senang difahami mengenai hukum menukar jantina.
Menukar jantina ialah menukar jantina seseorang melalui proses pembedahan dari lelaki menjadi perempuan, atau dari perempuan menjadi lelaki, atau dari khunsa menjadi salah satu dari dua jantina.

Taghyir dan Takmil 
Perlu dinyatakan di sini bahawa terdapat dua bentuk pembedahan menukar jantina, iaitu:
1. Taghyir atau Tabdil (Menukar jantina)
2. Takmil (Menyempurnakan jantina)
Apa perbezaan di antara Taghyir atau tabdil (Menukar jantina) dengan takmil (menyempurnakan jantina)??

Ciri-ciri Taghyir atau tabdil ialah:
Seorang lelaki yang sempurna/normal kejadian jantina luarannya (alat seksnya-zakar) bersesuaian dengan organ jantina dalaman, kemudian dia menukar jantinanya kepada jantina wanita. Atau seorang wanita yang kejadian jantina luarannya (faraj) sempurna/normal dan bersesuaian dengan organ jantina dalamannya, kemudian dia menukar jantinanya kepada jantina lelaki.

Ciri-ciri Takmil ialah:
1. Seorang dilahirkan dengan dua alat kelamin (zakar dan faraj), kemudian dia melakukan pembedahan untuk mematikan salah satu dari dua alat kelaminnya, dengan menghidupkan yang satu lagi. Dia menghidupkan salah satu alat kelaminnya bersesuaian dengan organ kelamin dalamannya. Tujuan pembedahan ini ialah untuk memperjelaskan identiti jantinanya yang sebenar.
2. Seseorang dilahirkan dengan alat kelamin yang tidak sempurna, contohnya keadaan zakar seorang lelaki atau faraj seorang wanita tidak berlubang. Lalu dia menjalankan pembedahan untuk membuat lubang di bahagian yang sepatutnya.

Hukum Taghyir dan Takmil

a. Hukum Taghyir - mengubah status kelamin, dari lelaki ke perempuan atau sebaliknya.
Islam mengharamkannya dengan alasan:

1. Firman Allah Taala:
Ertinya: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
(surah al-Hujarat, 13)

Pengajaran ayat di atas:
Seluruh manusia sama taraf dan kedudukkannya di sisi Allah tanpa memandang jantina dan kaum. Yang menjadi penentu kemuliaan hanyalah ketakwaan kepada Allah. Anugerah jantina yang normal perlu disyukuri. Menukar anugerah tersebut bermakna mengengkari nikmat tersebut.

2. Firman Allah Taala:
Dan saya (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotong-motongnya, dan akan saya suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), maka sungguh mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain dari Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.
(Al-Nisa', 119)

Pengajaran ayat di atas:
Menurut beberapa orang ahli tafsir, bahawa antara perkara-perkara yang boleh dianggapa sebagai mengubah ciptaan Allah yang diharamkan ialah:
Homoseks, lesbian, membuat tato, mencukur alis mata dan berpakaian dan bertingkah laku dengan lawan jantinanya.
Dengan ini menukar jantina yang telah dianugerahkan juga termasuk di dalam - Mengubah ciptaan Allah yang diharamkan.

3. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan enam imam lainnya, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Allah mengutuk para wanita tukang tato, yang minta ditato, yang menghilangkan bulu muka, yang minta dihilangkan bulu mukanya, dan para wanita yang memotong giginya - Yang semuanya itu dikerjakan dengan tujuan untuk kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah."

Pengajaran dari Hadis:
Rasulullah menyenaraikan sebahagian dari perbuatan-perbuatan yang dianggap mengubah ciptaan Allah yang dilarang. Melihat kepada ciri perbuatan-perbuatan berkenaan, maka dapatlah kita simpulkan bahawa menukar jantina juga termasuk di dalam mengubah ciptaan Allah yang dilarang oleh Allah dan RasulNya.

b. Hukum Takmil
Islam mengharuskannya. Alasannya ialah:

1. Untuk menarik kemaslahatan dan menghindarkan kemudaratan.
Maslahat bagaimana? Dan mudarat bagaimana?
Mudarat yang diperolehi ialah, kewujudan kaum pondan (dilahirkan dengan dua kelamin) boleh mengakibatkan pelbagai penyakit sosial. Antaranya ialah gejala homoseks yang boleh mengakibatkan tersebarnya kuman HIV. Teknologi perubatan pada hari ini mampu mengatasi masalah pondan ini dengan melakukan pembedahan menyempurnakan alat kelamin mereka. Dan Islam memandangnya sebagai baik dan bagus, kerana maslahat yang dicapai hasil dari pembedahan itu nanti lebih besar dari kemudaratannya.

2. Cuba lihat sekali lagi dalil-dalil yang digunakan didalam menghukumi keharaman Taghyir (mengubah jantina). Allah dan RasulNya melarang umat Islam dari mengubah ciptaan Allah. Jadi timbul satu persoalan di sini, bukankah melakukan pembedahan untuk menyempurnakan jantina seseorang itu juga termasuk di dalam apa yang dikatakan sebagai mengubah ciptaan Allah? Memang benar, jika pengubahan itu tidak mendatangkan apa-apa maslahah/kebaikan atau menyebabkan mudarat maka haram hukumnya. Sebaliknya jika pengubahan itu dapat menghasilkan maslahah yang lebih besar serta dapat menghindarkan mafsadah/kerosakan, maka Islam membenarkannya.

Apakah status mereka yang mengubah jantina?
Kita perlu melihat kepada tujuan mereka. Seandainya atas tujuan:

i. Taghyir (mengubah), maka mereka tetap dengan status asal jantinanya. Walaupun seseorang perempuan selepas pembedahan telah menjadi seorang lelaki, namun Islam masih memandangnya sebagai seorang wanita. Dari itu apa sahaja hukum-hakam berlaku ke atasnya sebagai seorang wanita, bukan lelaki. Samada hukum-hakam mengenai warisan, aurat, perkahwinan dan sebagainya.
ii. Takmil, maka mereka berstatus dengan jantina selepas proses bedah dijalankan. Segala hukum-hakam berjalan menurut status tersebut.

Khatimah

Setelah menatap dengan penjelasan hukum di atas, kita kaitkan pula dengan petikan akhbar berita harian tersebut. Secara pemerhatiannya, isu Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz ini adalah termasuk dalam Taghyir, iaitu mengubah status kelamin / jantina yang telah nyata HARAM secara Ijmak dalam Islam.

Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Firman Allah S.W.T :
"Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh keseksaan, yang dahulu mereka sering memperolok-olokkannya." [Al-Ahqaf : 26]

Firman Allah S.W.T lagi :
"Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia." [Hud : 105]

Firman Allah S.W.T dan lagi :
"Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." [Asy-Syura : 7]

Allah S.W.T dalam ayat di atas telah menerangkan dan menghuraikan tentang perkara yang menyebabkan terjerumusnya manusia ke dalam kesesatan. Allah S.W.T menjelaskan ramai manusia menjadi isi neraka Jahannam, begitu juga mereka yang masuk syurga sesuai dengan amalan masing-masing.

Kita bermohon kepada Allah S.W.T agar kita dijauhkan dari segala macam kesesatan, tidak mengambil ringan akan 'Amar Makruf Nahi Mungkar', sehingga berleluasa kemaksiatan dan kerosakkan dalam masyarakat dan juga kita bermohon kepada Allah S.W.T agar kita mampu melihat dunia ini dengan neraca Islam pada setiap saat dan ketika.

Wallahu'alam Bishawab..
Posted on 2:44 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 2 Comments »

2 comments:

Kamarol Azli Bahari said... @ August 1, 2011 at 1:17 PM

Jazakallah akhi..

Anonymous said... @ January 28, 2017 at 11:21 AM

terima kasih..mitak izin digunakan sebagairujukan untuk tugasan.

Post a Comment

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin