AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

Disko 'La Meca' , Menyerupai Masjid, Menghina umat Islam !!


Salam alaik...
Posting kali ni agak kelam kabut disebabkan ingin menyampaikan maklumat kepada saudara semua.
Cuba lihat gambar di atas, pasti ramai yang merasakan ia adalah masjid..tapi tidak, ia adalah sebuah disko tua yang sudah di 'renovate' dan diberi nama 'La Meca'. Untuk maklumat lanjut, sila baca laporan di bawah.

La Meca, disko menyerupai masjid di selatan Sepanyol

Kewujudan disko La Meca di Kota Aguilas, wilayah Murcia, Sepanyol, terus mendapat kecaman dari umat Islam di sana. Kecaman kali ini datang dari Ketua Persekutuan Persatuan Muslim di Sepanyol, Mohamed Ali.

Dia mendedahkan bahawa pemilik disko tersebut seakan ingin menghina umat Islam dengan memberi nama disko seperti itu. Umat Islam di Sepanyol memahami bahawa La Meca itu bererti Makkah.

“Umat Islam solat menghadap ke Ka’bah di Makkah dan di sanalah Nabi Muhammad SAW menerima Al-Quran yang suci. Sedangkan disko itu tempat untuk minum arak dan berjoget. Nama disko itu seakan ingin mengabaikan perasaan umat Islam,” kecam Mohamed Ali, seperti yang tercatat di Andalus Press.

Mohamed Ali kembali mengingatkan bahawa Makkah adalah tempat yang paling suci bagi umat Islam. Penggunaan nama Makkah itu juga dikecam keras oleh seorang lelaki berketurunan Maghribi yang bekerja di disko tersebut apabila mengetahui nama tempat hiburan itu sudah diganti menjadi Makkah.

Pengasas Jawatankuasa Timbang Tara Muslim dan Amalan Baik, Antonio García Petite menegaskan “Disko adalah tempat untuk mencari kesenangan duniawi dan apa yang terjadi di dalamnya, seperti minum arak, tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam.

Petite menambahkan lagi, nama Makkah tidak patut digunakan untuk disko. Oleh itu, dia menyokong sikap pekerja Muslim di disko tersebut yang menolak dari terus bekerja. Menurutnya, sikap itu sesuai dengan keyakinan agamanya. “Kami menyokong pekerja itu,” ujarnya.

Seperti diketahui, awalnya, disko tersebut tidak diberi nama 'La Meca'. Namun setelah 10 tahun di ubahsuai, disko tua itu tiba-tiba diberi nama Makkah. Perasmian disko itu sebenarnya telah dilakukan pada 18 Jun 2010, namun baru beberapa hari terakhir ini, umat Islam di Sepanyol melakukan protes ke atasnya(tribunnews.com, 8/1/2011).

Sumber:hizbut-tahrir.or.id/2011/01/10/kelompok-muslim-spanyol-kecam-penggunaan-nama-makkah/
Posted on 12:00 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?


Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.
 
Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah  menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya. 

Benarlah kata para ulama  :

 
Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah. 
 
* Di copy paste dari blog Dari Anjung Al Atrak
Posted on 11:51 AM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

Tanah Jenis Apakah Kita?

 
Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, kita sudah pun berada dalam tahun baru masehi. Selamat Tahun Baru 2011 untuk semua. Semoga tahun ini amal soleh kita bertambah selari dengan jasad kita yang semakin di mamah usia. Di tambah dengan sifat-sifat mahmudah yang sekali gus menghapus sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita, InsyaAllah. Dek kerana terlalu sibuk dengan urusan seharian, bertemu dengan ramai umat manusia, kekadang tersilap atur langkah dan lisan kita. Semoga Allah memelihara kita semua dari tipu daya syaitan dan fitnah dunia lalu mengampun dosa-dosa kita yang sering alpa dan leka.

Dari hadith Mu’adh bin Jabal, “Sesungguhnya engkau sentiasa sejahtera selama engkau diam. Tetapi apabila engkau berkata, ditulis bagi engkau atau atas engkau (yang baik atau yang jahatnya.”

Hadith di atas adalah salah satu ajaran Rasulullah s.a.w. supaya seorang yang beriman selalu mengawasi perkataannya dan membiasakan diamnya kalau diam itu ada faedahnya. Tapi bukanlah diam dalam perkara yang salah dari mengatakan yang haq, diam seperti ini dikatakan syaitan yang kelu. Sebenarnya kali ini saya bukanlah hendak menulis berkenaan hal ‘diam’, tetapi ingin saya kongsikan bersama salah satu dari hadith-hadith tinggalan Rasulullah s.a.w. yang amat kita cintai. Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan, Muhammad s.a.w.

Hadith ini adalah hadith sahih yang begitu penting dan amat bermakna tentang ilmu dan manusia, juga bagi mereka yang mahu berfikir. Riwayat al-Bukhari no. 79 dan Muslim no. 6093, Rasulullah s.a.w. telah membuat perumpamaan tentang hidayah dan ilmu yang dibawa oleh Baginda untuk sekalian alam. Rasulullah s.a.w. telah menjadikan hidayah dan ilmu sebagai “hujan” manakala hati-hati manusia pula Baginda ibaratkan seperti “tanah”. Lalu Rasulullah s.a.w. membahagikan tanah-tanah bumi yang menerima hujan kepada tiga jenis.

Bagi yang pertama, “Di antara tanah itu ada yang suci dan baik, boleh menerima air, lalu tumbuh diatasnya rumput-rumput dan tumbuhan yang banyak.”

Golongan yang dimaksudkan Baginda ialah manusia yang menerima ilmu dan hidayah daripada Allah s.w.t. lalu beramal dan memanfaatkannya untuk diri mereka. Malah mereka juga memberi manfaat kepada orang disekeliling mereka dengan mengajarkan ilmu dan menyebar luaskannya.

Kedua, “Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air, maka dengannya Allah s.w.t. memberikan manfaat orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam.” Golongan kedua yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. ini juga merupakan golongan yang baik. Walaupun mungkin mereka tidak begitu mengambil faedah daripada ilmu yang diperoleh juga kurang terkesan pada diri mereka, namun mereka mampu dan berjaya menyebarkan dan menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain. Dengan yang demikian, ramai manusia yang mendapat faedah berbanding dirinya, sekurang-kurangnya kelebihan menyampaikan ilmu tetap menambahkan sahamnya di akhirat nanti.

Yang ketiga, “Dan hujan itu menimpa pula satu jenis tanah lagi, ia hanyalah tanah gersang, tidak mampu menakumg air dan tidak pula menumbuhkan rumput.” Begitulah jenis golongan ketiga yang diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w., mereka tidak mahu menerima ilmu, dirinya juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain. Disebabkan itu, diakhir bicara, Baginda menyimpulkan dengan penuh kemas jenis-jenis tanah tadi, iaitu :

“Begitulah diibaratkan seseorang yang memahami agama Allah dan dirinya mendapat kebaikan daripada apa yang Allah berikan kepadaku. Dia mengetahui lalu mengajarkan kepada yang lain. Begitu jugalah diibaratkan pula seseorang yang tidak mempedulikan apa yang diberikan kepadaku dan tidak menerima petunjuk Allah yang diutuskan aku dengannya.”

Hadith ini pastikan membuatkan setiap dari kita berfikir dan termenung sejenak. Sejauh mana telah kita manfaatkan ilmu dan petunjuk yakni “hujan” yang Rasulullah s.a.w. maksudkan. Dan hadith ini juga pada hemat saya sama sekali menolak cakap-cakap orang yang selalu berkata “Nak nasihatkan aku,engkau tu dah betul sangat ke?”. Di akhir kata, marilah kita bersama-sama berusaha menjadi tanah yang terbaik dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat untuk bekalan kita di Yaumul Hisab kelak.

Wallahu A’lam…

· Rujukan – Hadith 40, Terjemahan dan Syarahnya – Musata ‘Abdul Rahman
· Pengolahan dari Bahg. Hadis – Ustaz Adlan Abd. Azizi
Posted on 9:32 AM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin