AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

TABARRUJ - Renungan Buat Muslimah..


TABARRUJ ialah mendedahkan kecantikan rupa paras sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. AL-Bukhari rahmatullah ‘alaihi ada berkata: “tabarruj, iaitu seorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya”. Untuk menjaga masyarakat daripada bahaya pendedahan ‘aurat dan disamping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita yang berakal lagi telah baligh dari bertabarruj.

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah an –Nur ayat 31 yang bermaksud:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan jangalah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”.
 

Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan seksaan dari-Nya. Berikut pula mari kita renungi firman Allah khasnya yang tujukan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Hai isteri-isteri Nabi(a.s), kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kau bertaqwa. Kerana itu janganlah kamu terlalu lunak dalam bicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dlaam hatinya, tetapi ucaplah perkataan yang baik.” (Al-ahzab: 32)

Daripada ayat ini dapatlah difahamkan bahawa suara lemah lembut adalah sebahagian daripada ‘aurat wanita juga.Kembali lagi kita kepada jenis alat-alat make-up. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Andainya wanita keluar dari rumah serta memakai bau-bauan, maka dia sudah dianggap melakukan perzinaan” Penggunaan wangi-wangian sembur atau jenis jenis bauan bagi kaum wanita diwaktu keluar dari rumah adalah dilarang, kerana syari’at Islam, apabila melarang perzinaan, maka segala sumber-sumber dan cirri-ciri yang membawa kepada perbuatan keji tadi semuanya juga dilarang.


Ummu salamah ada menceritakan, maksudnya begini: “ Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasulullah s.a.w pada suatu hari dengan pakaian yang nipis. Lantas Rasulullah.s.a.w menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya :“ Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaidh (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.”. ketika itu Rasulullah s.a.w mengisyaratkan kepada muka dan kedua tapak tangan.
Posted on 4:35 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 3 Comments »

Sultan tukar Daulat Tuanku ke ALLAHUAKHBAR...rakyat dapat pahala..

Tuanku Faris mengimamkan solat

Sultan Yang Prihatin
Mstar , Isnin Mei 9, 2011
Oleh ROZAID A. RAHMAN & SYED AZHAR

SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya ‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. itulah yang terbaik untuk rakyat saya.


BICARA BUAT SEORANG SULTAN
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)

pada kerendahan dalam pakaian,
pada penampilan dalam keramaian,
perasaan tertawan kepada sang sultan..

pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja,
moga nyata, dia payung rakyat jelata..

inilah nasihat raja dan rakyat…

raja dimulia bukan kerna singgahsana
raja disayang bukan kerna paluan gendang
raja diangkat bukan kerna kalimat 'daulat'
raja dicinta bukan kerna kuasa
raja dihormat bukan kerna pangkat

raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat

raja dibenci kerna buruk budi,
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah
raja dilupa kerna tinggalkan agama,

apabila raja itu zuhud,
namanya selalu disebut
apabila raja takutkan Allah,
sekelian rakyat jantung diserah
apabila raja sangat sederhana,
jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama,
dengan ikhlas rakyat berdoa..


tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah
kepada raja kasih tertumpah

Dr MAZA,[Malaysiakini]
160211
Penulis adalah bekas mufti Perlis
Posted on 11:49 AM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 2 Comments »

SYARAHAN PERDANA - Sheikh Prof. Dr Wahbah Al-Zuhaily

Sila klik untuk paparan
Posted on 9:43 AM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

Batas - batas bergurau - "Muhasabah Diri"

Bergurau ada batasnya : Gambar Hiasan
Salam alaik...Semoga semua muslimin dan muslimat sentiasa sihat di bawah rahmat-Nya, InsyaAllah. Saya yakin setiap dari kita pernah bergurau senda. Posting kali ini adalah pertamanya untuk muhasabah diri sesama kita dalam setiap apa yang kita lakukan selaras dengan kehendak dan batas-batas syariat.

Bergurau memang seronok. Kadang-kadang, bergurau boleh membuatkan suasana yang muram menjadi ceria. Yang sepi bertukar gamat. Gurau senda jugalah yang menjadi penambah perisa dalam tautan ukhwah serta mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Adapun, setiap perkara tentulah ada batasnya. Tidak kiralah kegembiraan, kesedihan, lawak jenaka, gurau senda atau apa sahaja. Jikalau berlebihan tanpa batas, hidup boleh jadi huru-hara!
  

Namun, Islam yang syumul ini cukup cantik. Allah S.W.T. tidak pernah membiarkan umatNya terbiar tanpa panduan. Al-Quran dan As-sunnah itu sentiasa ada untuk menjadi rujukan kita. Dalam hal ini mari kita sama-sama merujuk 5 syarat yang telah diletakkan oleh Dr. Yusuf Qardawi dalam bergurau senda.
 
1. Perkara yang hendak dicakapkan itu bukanlah suatu yang bohong hanya semata-mata manusia ketawa.
 
Nabi s.a.w bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له

 "Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia." (HR Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam berbicara, kita dilarang sama sekali menokok tambah dan berkata perkara-perkara yang tidak benar.

2. Tidak mengandungi penghinaan terhadap seseorang melainkan orang tersebut mengizinkannya.

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Nabi s.a.w bersabda:

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

 "Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (HR Muslim - sahih)

Ada masanya kita tak sedar perkara yang kita sangka hanya satu gurauan terhadap sahabat kita, sebenarnya telah mengecilkan hatinya. Jangan sesekali menganggap semua insan adalah seperti kita; tidak merasa apa-apa bila diejek. Masing-masing punya perasaan tersendiri.
Jika ada kekurangan pada diri sahabat, tegurlah dengan cara yang baik. Gurauan yang melampau boleh menjadi asbab kepada putusnya sillaturrahim. Maka, berhati-hatilah.

Ketawa yang berlebihan boleh menyebabkan keras hati & lalai dari mengingati Allah S.W.T


3. Melawak yang tidak menakutkan orang lain.

Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasullulah s.a.w di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat.

Rasulullah s.a.w bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

"Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam." (HR Thabrani - sahih)

Nabi s.a.w bersabda:

لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا

"Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul." (HR Ahmad - sahih)

Gurauan yang tidak kena pada tempatnya juga adalah sangat ditegah. Malah nabi sendiri mengharamkan kita untuk menakut-nakutkan saudara seIslam kita. Berpada-pada lah dalam bergurau. Setiap benda ada hadnya kerana jika tidak memikirkan kesan gurauan yang sepatutnya, hiburan boleh menjadi bala. Maka, berhati-hatilah.

4. Jangan bergurau pada perkara yang perlu serius.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak.

Nabi s.a.w bersabda:

ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق

"Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba." (HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah - sanadnyaHasan)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah S.W.T.:

"Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai."(59 – 61 : an-Najm)

5. Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.

Nabi s.a.w bersabda:

فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ وَلا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ

"Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hr Ahmad dan Ibnu Majah – sanad hasan)

IKTIBAR KISAH RASULULLAH S.A.W.

Etika melawak dan bergelak ketawa.

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda "Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya: "Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya." (Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata "Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:

نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لا أَقُوْلُ إِلا حَقَّا

Maksudnya: Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar. (Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

Khatimah : Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama 'check and balance' diri kita dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang cukup sempurna, tidak kiralah dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar agenda. Dari mula bangun tidur hingga masuk tidur pada malamnya. Setiap tindakan kita terikat dengan hukum syara'. Maka dari itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri agar kita menjadi umat islam yang sentiasa di rahmati oleh yang Maha Pencipta. Sampaikan dariku walau satu ayat...Wallahualam bish'awb..
Posted on 2:45 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin