AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

Isu Panas Bantuan Gereja..Apa yang tak kena ?


(Harian Metro Ahad : 7 Ogos 2011)
SEREMBAN: “Saya tiada pilihan melainkan menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa sering mendapat cemuhan segelintir pihak kerana mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kini tidak dapat bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit, terutama asma, kencing manis, darah tinggi dan buasir.
“Saya sedar tidak sepatutnya menerima bantuan daripada gereja, namun saya terdesak kerana memikirkan hidup anak yang mahu bersekolah dan makan. Oleh itu, saya terpaksa mengambil bantuan itu,” katanya ketika ditemui di rumah di Ampangan, di sini, semalam.

Nur yang pernah bekerja sebagai pembantu akaun mendakwa, dia terpaksa berhenti kerana masalah penyakit itu dan pernah beberapa kali pergi ke jabatan berkaitan, namun dicemuh umpama peminta sedekah.

“Saya sedih kerana pihak berkenaan yang sepatutnya membantu enggan melayan saya, sebaliknya saya ditolak ke sana sini hanya kerana bantuan berjumlah RM70.
“Yang membuatkan saya sedih adalah ketika mengenangkan nasib anak yang kadangkala tidak makan, malah yuran tuisyen dan sekolah mereka juga sudah lama tertunggak,” katanya yang reda dengan keadaan itu.

Menceritakan bagaimana dia berjumpa seorang pendakwah gereja, Nur mendakwa, dia disapa oleh wanita berkenaan April tahun lalu ketika dia kesedihan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya.

“Dia (pendakwah gereja) kemudian menyarankan saya mendapatkan bantuan gereja milik mereka iaitu barang makanan berserta wang tunai.

“Saya tiada pilihan, malah hampir setahun saya menerima bantuan itu. Pihak gereja yang lebih inisiatif untuk tampil membantu nasib wanita seperti saya,” katanya.

Dakwanya, setiap bulan pihak gereja membawa keperluan harian ke rumahnya, malah selalu menghubunginya untuk bertanyakan jika mempunyai masalah lain.

“Saya dan anak turut ditawarkan untuk tinggal di asrama mereka, malah mereka berjanji untuk membantu menyelesaikan yuran tuisyen dan sekolah anak.

“Namun, sampai bila saya dan anak harus mengharapkan bantuan pihak gereja, sedangkan saya beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada sinar di penghujung hidupnya dan anaknya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.

“Jika mampu bekerja, saya akan cuba menyara hidup ini, namun Allah masih sayangkan kami apabila saya diuji dengan pelbagai ujian hidup,” katanya.

Ulasan Nashir :

Alangkah sedihnya bila terbaca petikan akhbar di atas. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ni. Besarnya nikmat kurniaan Allah S.W.T beri pada kita semua, mewah dengan kehidupan, cukup makanan dan pakaian, tempat tinggal selesa dan bermacam-macam lagi rezeki yang Allah S.W.T berikan kepada kita. Tapi dalam kita berbahagia, masih ramai lagi umat islam di luar sana yang kesempitan hidup. Bersusah payah mencari wang ringgit untuk mendapatkan sesuap nasi dalam menyara dan membesarkan anak isteri.

Maka dibulan Ramadhan inilah kita dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah. Juga kita difardhukan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu golongan yang memerlukan. Indahnya Islam kerana mementingkan kasih sayang dan perasaan belas bagi setiap penganutnya.

Setiap kali Ramadhan, seringkali kita dengar berkenaan dengan dalil ataupun hadith berkenaan dengan zakat. Zakat adalah salah satu cabang rukun islam yang wajib diimani dan sememangnya ia suatu hal yang sangat penting di dalam Islam. Sesiapa saja yang membeza kewajipan di antara mengeluarkan zakat dan mendirikan solat, maka tergelincirlah ia dari aqidah Islam.

Agak panjang muqadimmah kali ni, tak mengapa asalkan memberi kefahaman kepada pembaca semua. Saban tahun, kita dikhabarkan dengan jumlah kutipan zakat yang berjuta-juta ringgit berjaya dipungut oleh amil. Alhamdulillah, maksud di situ, masih ramai lagi umat islam yang menunaikan kewajipan kepada Allah S.W.T dan RasulNya.

Firman Allah S.W.T :

"Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil zakat, mu`allaf, hamba, orang-orang berhutang, jihad fi sabilillah, dan ibnu sabil." [At-Taubah (9):103]

Ayat di atas membataskan zakat-zakat itu hanyalah untuk 8 asnaf dan tidak boleh diberikan selain dari mereka. (Tidak boleh menambah golongan 8 asnaf seperti yang berlaku dulu..Pelacur boleh diberi zakat..Ini kerja gila).

Saya petik peristiwa yang diceritakan oleh Ustaz Hambali di blognya bilamana mendengar satu soaljawab di Radio IKIM minggu lalu. Di dalam rancangan tersebut bila soalan dikemukakan berkaitan asnaf yang ada di depan mata jika kita membayar zakat fitrah kita kepadanya. Maka jawab ustaz berkenaan kita dikira berdosa dan bersalah berdasarkan anekmen Agama Islam Selangor ( menurut ustaz jemputan berkenaan). Kata ustaz itu lagi ianya sah bayaran zakat berkenaan tetapi berdosa kerana melanggar perintah di dalam anekmen Agama Islam Selangor.

Aduh, beginikah cara pengagihan zakat yang dilakukan di negara kita ?? Sejak bila zakat ini terhad pengagihannya mengikut negeri ?? Banyak betul persoalan ye..Mari kita renungkan hadith ni. Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa tidak beriman seseorang itu yang tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Rasulullah juga mengingatkan kita bahawa haram hukumnya seseorang itu tidur dalam kekenyangan sedangkan dia mengetahui bahawa jirannya tidur dalam kelaparan. Rasulullah turut mengingatkan kita bahawa pemimpin itu adalah pemelihara rakyatnya. Maka, bagaimana mungkin seorang Muslim yang lalai dan seorang pemimpin yang kaya raya terlepas dari dosa bila mana mereka hidup dikelilingi kemewahan walhal pada masa yang sama kemiskinan berleluasa di depan mata.

Nah, sudah cukup rasanya peringatan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Kita tidak mahu mengikutinya ataupun sengaja mahu mengenepikan hukum Allah S.W.T. Berkenaan isu bantuan dari gereja yang diterima oleh individu di atas amat berbeza sekali dibandingkan dengan keadaan di zaman Umar r.a. Diriwayatkan bahawa Umar r.a melihat seorang kafir zimmi yang sudah tua, sedang meminta-minta di Baitul Maqdis maka di panggil oleh Umar r.a lalu berkata ,” Sesungguh kami tidak adil kepada kamu sebab telah mengambil jizyah ke atas kamu ketika kamu masih muda, kemudian setelah kamu tua kami sia-siakan kamu.” Lalu Umar r.a mengambil harta dari Baitul Mal dan memberinya kepada orang tua berkenaan. (Tanbihul Ghafilin)

Tidak kasar rasanya jika saya katakan Sistem Zakat di dalam negara kita ini tidak berfungsi dengan 100%. Apa guna kutipan zakat mencecah jutaan ringgit sedangkan ramai yang masih dalam kefakiran. Mereka boleh berbangga sekiranya dapat mengagihkan semua wang kutipan zakat, tapi bukan berbangga dengan jumlah kutipan yang tinggi. Ketika Umar r.a mengambil alih jawatan khalifah mengantikan Abu Bakar r.a, maka Umar r.a dapati tidak ada sekeping dinar mau pun dirham ditinggalkan oleh Abu Bakar r.a di dalam Baitul Mal. Inilah yang sepatutnya dibanggakan dan dilaksanakan.

Didalam sistem sekular yang mengamalkan ekonomi kapitalis sekarang, kita menyaksikan golongan pemimpin yang dibanjiri kemewahan sedangkan rakyatnya menderita kelaparan, dihimpit kemiskinan, dibelenggu hutang, tidur beratapkan langit dan hidup dalam kesusahan. Namun pada masa yang sama, zakat tak pernah kehabisan, kemiskinan masih tidak hilang !! Pelik, memang pelik.

Akhir kalam, semoga kita menjadi hamba yang bertaqwa dan dapat melaksanakan perintah Allah S.W.T dengan sebaik-baiknya. SesungguhNya siksaan Allah S.W.T amatlah pedih bagi mereka yang tidak menerapkan hukumNya.
Posted on 4:14 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 2 Comments »

2 comments:

wuzara said... @ August 10, 2011 at 9:32 AM

Salam...
Saya kira permasalahan yang diutarakan ini adalah antara masalah yang sedang ditonjolkan antara banyak masalah lain yang menimpa umat Islam. Ia rentetan isu gereja yang diserbu JAIS dan mendapati ada umat Islam di dalamnya. Kemudian timbul pelbagai polemik. Kerajaan PR selangor mengambil sikap tidak masuk campur dan menyerahkannyan kepada JAIS. Malah tindakan Exco berkaitan, Dr Hasan Ali, yang menyokong tindakan JAIS tidak dipersetujui oleh oleh PAS Selangor sendiri. Tidak kurang BN yang cuba menangguk di air keroh. Dr Asri pula cuba mengalihkan topik, apakah orang Islam akan murtad hanya kerana pergi gereja atau membaca Injil. Lalu mengkritik institusi agama yang mengabaikan kebajikan umat Islam hingga pihak gereja mengambil kesempatan. Maka isu ini berkait.
Saya pecahkan isu ini kepada 2 agar lebih mudah difahami.
1) Hukum gereja kristian mengadakan aktivitinya yang terkait dengan orang Islam.
2) Kewajipan negara menjaga kebajikan rakyatnya.

Berkenaan isu yang pertama, secara asasnya agama selain Islam boleh dipraktikkan oleh penganutnya. Tetapi tidak boleh melakukan sebarang bentuk penyebaran dakyah. Pemerintah wajib menghalang sebarang pendakatan yang memungkinkan penyebaran aqidah selain Islam dalam negara. Spesifik isu gereja ini, dengan ramainya jumlah orang yang murtad dan aduan orang ramai, tindakan JAIS adalah wajar.

2)Menjaga kebajikan rakyat-Islam dan bukan Islam- adalah kewajipan negara. Saya tidak menafikan kebobrokan institusi agama dan zakat di Malaysia, tetapi dalam masa yang sama kita perlu faham bahawa ia adalah kewajipan negara secara umum dan bukannya institusi agama semata.

Permasalahan ini akan terus berlaku, cuma samada ia disensasikan media atau tidak, selagi penegarapan Islam yang kaffah tidak dilaksanakan. Wallahua'lam.

Kamarol Azli Bahari said... @ August 10, 2011 at 4:25 PM

wasalam akhi wuzara..salam ramadhan..terima kasih dengan komentarnya..

memang ada benarnya..masalah ini berpunca dari sistem itu sendiri.bila mana islam tidak dilaksanakan secara kaffah maka akan timbul pelbagai masalah..ibarat rumah yg atapnya bocor,jika tidak ditampal bocornya maka akan banjir satu rumah.Air yang mencurah ditadah,lalu melimpah merosakkan isi rumah.beginilah yang berlaku sekarang..

Punca asal sesuatu masalah itu masih belum diselesaikan.Bila mana pihak berkenaan tidak berfungsi dengan sepatutnya maka si kafir akan mengambil kesempatan menabur bakti dalam menyebarkan fahaman agama mereka.

Post a Comment

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin