SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK
Assalamualaikum w.t.b...Alhamdulillah, Segala puji bagi
Allah S.W.T yang terlalu banyak memberikan nikmat kepada kita semua. Selawat
dan salam buat Rasulullah s.a.w..InsyaAllah beberapa hari sahaja lagi dapatlah
kita melangkah ke bulan ramadhan, bulan yang penuh dengan keagungan dan
keberkatan dari Allah S.W.T. Bulan yang mana apabila kita beramal, pahala
digandakan dan apabila kita berdoa, doa akan diterima Allah Aza Wajalla. Dan
yang paling istimewa adanya Malam Lailatulqadar, malam yang lebih baik dari seribu
bulan.
Elok rasanya kita memanfaatkan beberapa hari sahaja lagi di bulan syaaban ini untuk mengulang kaji 'pelajaran' berkenaan dengan bulan ramadhan sebelum kita memasukkinya. Marilah kita berdoa supaya Allah menjadikan kita orang beriman yang rindukan ketibaan Ramadhan, bulan yang menjanjikan banyak kebaikan dan peluang ibadah selama sebulan. Mohon dari Allah supaya hilangkan sebarang rasa payah dan liat dalam diri kita untuk menahan selera makan dan minum, sebaliknya kita bermohon diberi kenikmatan dan kemanisan beribadah kepadaNya. Ya Allah, jadikan kami dari golongan ini.
Kita panjatkan doa kepada Allah, jangan kita dijadikan seperti golongan yang malang dan di dalam kerugian. Golongan seperti ini apabila diumumkan tarikh permulaan puasa, jiwa mereka jadi berat, tubuhnya jadi lemah dan malas untuk ke masjid bertarawih, merasakan kedatangan Ramadhan sebagai tetamu yang tidak diundang, membilang hari bilakah berakhirnya bulan yang penuh kekangan, dan bersukaria apabila Hari Raya makin menjelma. Puncanya adalah orang seperti ini tidak membiasakan diri dengan ibadah, tidak dibiasakan dengan lapar dan dahaga, tidak pernah mengajar diri mengekang nafsu selera, dan yang lebih malang jika perihalnya sebelum Ramadhan, ibadah wajib pun acap kali tertinggal dan kerap kali diabaikan. Ya Allah jauhilah kami dari tergolong dalam kumpulan ini.
Dengan ini, saya dengan serendah-rendah diri memohon ribuan kemaafan dari semuanya yang mengenali diri ini, sekiranya melakukan kesalahan dan kesilapan secara sedar mahupun tidak. Sungguh saya insan yang terlalu banyak melakukan dosa di atas muka bumi. Semoga Allah mengampuni dosa saya dan kalian semua & semoga Allah menghilangkan segala sifat-sifat mazmumah yang terbuku dalam hati dan diri kita lantas mengantikan ia dengan sifat-sifat mahmudah yang ada dalam diri kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w.
P/S : Bulan puasa ini rawatan berjalan seperti biasa, mengikut permintaan dan temu janji yang dibuat awal ya..Pesanan juga kepada semua agar menepati janji dan waktu. Sekian, sampai sini sahaja. Wassalam...
Salam Ramadhan Al - Mubarak !!
0 comments:
Post a Comment