KEJAM! DIA BERDIRI 8 JAM
Hebahan dari blog Mazidul Akmal
Saya tiba di Kota Bharu, Kelantan jam 10.30 malam semalam.
Gambar di atas sebahagian daripada poster ucapan selamat Hari Raya oleh Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Misi saya bukan untuk melompat parti kerana saya bukan ahli politik.
Tengahari tadi, saya ke Pasar Siti Khadijah, pusat membeli belah berwarna-warni paparan papan iklan di atas.
Banyak gambar saya rakamkan.
Banyak gambar saya rakamkan.
"Tidak berapa ramai pelaggan
datang, jam 4.30 petang kami tutup kedai. Kalau ramai pun hanya pada
hari Sabtu," ujar peniaga wanita duduk di sebelah kiri.
Saya juga meninjau ruang pasar basah.
Sebaik menyedari gambar mereka direkodkan oleh jurukamera, Hanapi Mat, wanita terbabit terus memarahi kami.
"Saya tok suko polis! Kijo igat ore!," jerkahnya.
Lebih kurang begitulah bunyi kenyataannya, dia tidak suka polis kerana menangkap orang.
Pantas dia menarik tangan suami buta dan beredar sambil mulutnya tidak berhenti menyumpah seranah kami dalam loghat tempatan.
"Dia baru di sini, tidak pernah
kami tengok sebelum ini. Rasanya mereka orang luar Kota Bharu," bisik
peniaga duduk berhampiran saya berdiri tercegat.
Garang sungguh wanita itu.
Apapun keputusan untuk mengemis di pasar terbesar di Kota Bharu itu, keputusan mereka.
Keputusan dua individu dewasa biarpun barangkali tersirat dan tersurat pelbagai kisah di sebalik kegiatan itu.
Apapun keputusan untuk mengemis di pasar terbesar di Kota Bharu itu, keputusan mereka.
Keputusan dua individu dewasa biarpun barangkali tersirat dan tersurat pelbagai kisah di sebalik kegiatan itu.
Saya dan jurukamera kemudian bergerak meninjau lokasi sasaran kedua, ruang pejalan kaki di hadapan institusi perbankan.
Setelah beberapa minit merakamkan gambar remaja itu dari jauh, saya menghampirinya.
"Berasal dari mana?," soal saya.
"Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor," jawabnya lembut.
"Buat apa di sini?"
"Membuat jualan amal, bantuan anak yatim," katanya.
"Pelajar sekolah Tahfiz Amal di Yan, Kedah ke?," soal saya.
Dia menganggukkan kepala.
"Umur anak ini berapa?," soal saya lagi.
"Tiga belas," balasnya.
Wajahnya manis dan pelajar berusia 13 tahun itu menjawab setiap soalan saya kemukakan secara beradap.
"Anak ini lebih muda daripada
anak sulung pak cik. Pak cik minta anak beri tahu perkara sebenar dan
tidak perlu menipu pak cik," pinta saya.
Dia tunduk, mendiamkan diri buat seketika.
Pipinya kelihatan sedikit bergetar.
"Berapa lama anak meminta derma di sini? Di Kota Bharu, tinggal di mana?," soal saya perlahan.
Saya akur, bukan mudah untuk
mencungkil fakta sebenar. Jiwa remaja rapuh dan mudah terusik.
Pengalaman saya tempuhi ketika menemubual pelajar sekolah sama di
pelbagai lokasi, saya jadikan asas melontarkan pertanyaan.
Pernah saya ditengking oleh anak
sepertinya sebelum ini. Namun gadis remaja berdiri di hadapan saya
mempunyai penampilan dan sikap berbeza.
"Lebih sebulan saya membuat
jualan amal di sini dan di banyak tempat lain. Di Kelantan ini, saya
bersama kumpulan 8 pelajar perempuan dan 6 lelaki lain dari Kedah,
Selangor dan Johor tinggal di rumah disewa oleh dua cikgu, lelaki dan
perempuan di Panji," balasnya.
Lazimnya pelajar menggunakan istilah 'ustaz' bukan cikgu.
Saya dekatkan alat perakam audio
Sony ke arah gadis cilik itu. Manakala jurukamera meneruskan rakaman
sambil cuba tidak merekodkan wajahnya.
Dia remaja di bawah umur, etika
kewartawanan tidak membenarkan wajahnya didedahkan. Lagipun saya hanya
cuma ingin membongkar kisah sebenar di sebalik tangan yang menadah.
Tidak lebih daripada itu.
"Sebelum ini di Bangsar, Kuala
Lumpur, pak cik terserempak pelajar lelaki dari sekolah kamu mengutip
derma selama 8 jam. Pak cik tengok wajah kamu, pak cik tahu kamu
terseksa dengan 'kerja' kamu ini. Kamu tidak berasa penat ke?"
Soalan itu saya lontarkan.
Naluri ayah sukar untuk saya kesampingan sewaktu berkomunikasi bersama remaja itu.
"Tidak, mungkin muka saya sahaja nampak penat," katanya.
"Cuba keluarkan produk dijual," pinta jurukamera.
Remaja itu kemudian menyeluk beg galas disandang dan mengeluarkan botol minuman sebelum botol itu saya belek.
"Ini minuman apa?," tanya saya.
"Ini minuman untuk kecergasan minda. Wang hasil kutipan jualan diserahkan kepada cikgu," celahnya.
"Tidak ada pula dicatatkan di
kulit botol ini minuman untuk kecergasan minda. Ini minuman fomula
kecergasan untuk lelaki dan wanita anggun 'tonite'," saya membaca tulisan di botol.
Dia mengutip derma menggunakan air membekalkan kesegaran berharga RM10 setiap satu, sama seperti produk di entri ini.
Saya kemudian memandang tepat ke
sepasang mata anak itu sebelum Allah menggerakkan hatinya untuk
berkongsi informasi peribadi diri.
"Saya anak kedua daripada 7
beradik. Ayah saya berusia 52 tahun dan bekerja di pusat rawatan tahfiz
di Pahang. Mula belajar di sekolah tahfiz sejak berusia 7 tahun dan
mengutip derma sejak setahun lalu, ketika berusia 12 tahun. Saya disuruh
meminta derma oleh cikgu, dihantar ke sini menggunakan van pada jam 1
tengahari dan dijemput balik oleh cikgu pada jam 9 atau 10 malam nanti,"
katanya.
Setiap hari di bulan Ramadan ini, dia mendakwa juadah berbuka puasa dihantar kepadanya oleh guru sebelum waktu Maghrib.
"Cikgu di mana?," soal saya.
"Dia menjual di tempat lain," balasnya.
"Berapakah jumlah kutipan kamu semalam?," soal saya.
"Seratus lima puluh ringgit.
Bukan semua minuman kesihatan dijual ini laku, sejumlah kutipan itu
didermakan oleh orang ramai," jelasnya dengan nada lembut.
"Pelajar sekolah tahfiz harus
bercakap jujur tahu. Pak cik tengok muka kamu, pak cik dapat merasakan
kamu terseksa sebab pak cik pun ada anak. Pak cik hendak bertanya, demi
Allah kamu tidak berasa diperguna dan dieksploitasi?," tanya saya.
Dia tergamam, tidak mampu menjawab soalan saya itu mahupun menggelengkan kepala.
"Kalau tidak ada sesiapa menderma, cikgu marah tidak?," soal saya.
"Tidak, sudah rezeki," balasnya.
"Bila anak akan balik ke Kedah?"
"Esok," balasnya.
Kakitangan institusi perbankan memerhatikan kami sejak dari awal kemudian datang menghampiri saya.
"Dia tidak duduk, hanya berdiri berhampiran bank ini," kata beliau.
Jelas, remaja itu berdiri
kira-kira 8 jam mendekati pelanggan bank keluar masuk dari ruang ATM
sebelum dijemput pulang oleh cikgunya.
Jika sekolahnya ingin penuntut
mempelajari secara praktikal berhubung konsep perniagaan sekalipun,
membiarkan remaja mentah berdiri sebegitu lama di bulan Ramadan ini,
saya anggap keputusan zalim.
'Jualan amal', berlaku di negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan PAS.
Di bulan Ramadan Al-Mubarak ini
saya memanjatkan doa kepada Allah semoga mengerakkan hati mereka
berkuasa agar dengan kadar segera memberhentikan eksploitasi terhadap
kanak-kanak berlaku sekian lama.
Sebagai wartawan dan blogger
saya sedaya upaya cuba mendedahkan fakta. Jika ingin membaca lebih
banyak nukilan saya berhubung kegiatan pelajar sekolah tahfiz itu, sila
gunakan enjin carian Google di kotak sebelah kanan entri ini, cuma
taipkan 'sekolah tahfiz'.
Sebarkan kandungan entri ini, jika hanya itu usaha mampu kita bersama lakukan untuk membuka mata pihak berkuasa.
HEBAHKAN
0 comments:
Post a Comment