AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

Laporan : Seminar - Demokrasi Di Penghujung Hayat, Khilafah Penyelamat Umat


26 Julai 2009, Ahad – Hizbut Tahrir Malaysia telah menganjurkan satu seminar yang bertajuk, “Demokrasi Di Penghujung Hayat, Khilafah Penyelamat Umat”, bertempat di Dewan Cempaka, Tingkat 4, Kompleks PKNS, Persiaran Bangi, Bandar Baru Bangi. Promosi yang telah dilakukan secara besar-besaran sebelumnya telah berjaya menarik peserta hampir mencecah 800 orang. Majlis yang bermula pada jam 9 pagi dan dijangka berakhir pada jam 1.30 petang, akhirnya dapat disudahkan pada jam 2.30 petang setelah selesai sesi soal-jawab.

Seminar yang membahaskan dan mengupas secara keseluruhan berkenaan Demokrasi ini telah membawa empat pembentang yang arif berkenaan dengan Demokrasi. Pembentang pertama iaitu Prof Madya Dr Mohammad, mengupas tajuk ‘Wajah Hodoh Demokrasi’. Tajuk kedua iaitu ‘Demokrasi Halal atau Haram’, dibentangkan oleh Presiden Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakeem Othman. Pembentang ketiga yang merupakan Setiausaha Agong HTM, Ustaz Abu Taqiyuddin, membentangkan tajuk ‘Syura dalam Islam’. Pembentang terakhir pula disampaikan oleh Ustaz Isa Abdullah dengan tajuk ‘Khilafah Penyelamat Umat’.

Seminar pada kali ini dijalankan dengan dua sesi. Sesi pertama disampaikan oleh ahli panel yang pertama dan kedua. Manakala sesi kedua pula disampaikan oleh ahli panel yang ketiga dan keempat.

Pada sesi pertama, Prof Madya Dr Mohammad menyampaikan serba ringkas tentang asal-usul Demokrasi, termasuklah aplikasi ‘Demokrasi Moden’ yang diterapkan kini. Sesuai dengan tajuk pembentangan, Prof Madya Dr Mohammad mengungkap satu persatu bagaimana Demokrasi ini telah dijadikan alat oleh kuasa besar saat ini khususnya Amerika Syarikat, untuk menjustifikasikan segala tindakannya ke atas negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Satu demi satu, segala kejahatan dan propaganda yang dilancarkan oleh kuffar barat terhadap negara-negara umat Islam dibongkar. Slogan ‘freeom and democracy’ merupakan topeng kepada kerakusan pihak kuffar untuk mendominasi, menjajah dan akhirnya menjarah segala kekayaan umat Islam. Ini dapat dilihat daripada fakta pencerobohan AS ke Iraq dan Afghanistan. Lebih dari itu, rejim kuffar ini, telah melancarkan banyak konspirasi termasuklah apa yang berlaku di Algeria, Palestin dan Iran. Semua ini menjadi bukti wajah hodoh Demokrasi yang selama ini digunakan oleh AS ke atas negara-negara yang ditindasnya di seluruh dunia.

Sesi pertama diteruskan dengan pembentang kedua, Ustaz Abdul Hakeem Othman dengan tajuk ‘Demokrasi halal atau haram’. Beliau telah mengupas sejumlah definisi dan doktrin yang ada berkenaan Demokrasi secara rinci. Beberapa pendapat yang sering digunakan oleh para pejuang Demokrasi turut diungkap, khususnya mereka yang selalu membawa dalil-dalil dan kaedah-kaedah untuk ‘menghalalkan’ demokrasi, walhal ia (dalil itu) digunakan dengan cara yang salah dan tidak tepat sama sekali. Beliau juga telah menjelaskan dengan terperinci perbezaan di antara Demokrasi dan Islam, yang sama sekali tidak pernah wujud persamaan, baik dari sudut definisi, doktrin dan aplikasinya.

Setelah selesai sesi pertama, sesi soal jawab di antara wartawan dengan pihak Hizbut Tahrir Malaysia telah diadakan demi menjelaskan segala kekeliruan yang selama ini disalah tafsir oleh masyarakat khususnya media massa apabila membicarakan tentang Demokrasi. Alhamdulillah, ‘press conference’ ini didatangi oleh wartawan-wartawan dari tiga akhbar terkemuka tanah air yang semuanya telah dijawab dengan jelas dan tegas oleh pihak Hizbut Tahrir Malaysia dalam sesi soal jawab tersebut.

Pada sesi kedua pula, Ustaz Taqiyuddin Mustafa membentangkan tajuk ‘Syura dalam Islam’. Beliau menjelaskan bahawa tajuk ini penting untuk membezakan secara jelas kepada umat Islam khususnya, berkenaan perbezaan di antara Syura dan Demokrasi yang selama ini disalah tafsir oleh golongan-golongan tertentu yang menyamakannya. Dua buku yang membahaskan tentang demokrasi diungkapkan oleh Ustaz Taqiyuddin, dengan menjelaskan beberapa ketidakjelasan yang tidak diperincikan di dalam buku tersebut berkenaan Demokrasi. Ketidakjelasan tersebut di antaranya, 1) setakat mana pendapat pakar digunakan, 2) setakat mana pendapat majoriti diterima dan ditolak, 3) setakat mana pendapat minoriti diterima dan ditolak, yang semuanya tidak dijelaskan di dalam buku-buku tersebut. Seterusnya beliau menjelaskan metode yang seharusnya ditempuh apabila ingin membahaskan sesuatu permasalahan termasuklah Demokrasi. Pertama, haruslah melakukan kajian realiti (waki’) berkenaan permasalahan yang sedang dibincangkan. Kedua, mengkaji dalil-dalil (nas-nas) yang bersangkutan tentang realiti yang dibahaskan. Ketiga, ‘memadukan’ nas dan realiti untuk mengistinbat hukum berkenaan sesuatu permasalahan itu tadi.

Pembentangan diteruskan dengan penceramah terakhir iaitu Ustaz Isa Abdullah yang membawa tajuk ‘Khilafah penyelamat Umat’. Penceramah menjelaskan bahawa segala keburukan yang menimpa umat Islam saat ini, adalah kerana tidak diterapkannya Sistem Islam yang akan menjadi perisai umat tatkala mereka ditindas dan diragut maruahnya oleh pihak kuffar barat. Kegemilangan yang dirasai oleh umat Islam terdahulu dengan terciptanya pelbagai penemuan-penemuan dan karya-karya adalah hasil diterapkannya Sistem Islam yang akan menjamin seluruh hak-hak yang telah ditetapkan syarak untuk warganegaranya sesuai dengan ketetapan syarak, yang berbeza sama sekali dengan hak-hak yang diberikan oleh Sistem Demokrasi. Apa yang pasti, Khilafah adalah merupakan janji Allah SWT dan khabar gembira daripada Nabi SAW kepada umat Islam. Ia perlu difahami dan diperjuangkan oleh umat Islam seluruhnya demi memartabatkan Islam sebagai agama yang memberi rahmat sekalian alam.

Setelah selesai kedua-dua sesi, majlis diteruskan dengan sesi soal-jawab. Segala persoalan yang dikemukakan oleh keempat-empat peserta pada sesi itu, yang bertanyakan seputar permasalahan Demokrasi akhirnya dijawab dengan baik dan tuntas oleh keempat-empat pembentang, yang akhirnya digulung oleh Presiden Hizbut Tahrir Malaysia secara keseluruhannya. Apa yang pasti, peserta secara keseluruhannya sangat mendambakan hidup yang mulia di bawah naungan Sistem Khilafah Islamiyah. Ini dapat dilihat dengan jelas ketika para peserta melaungkan suara secara serentak yang menginginkan Daulah Khilafah Islamiyah, yang turut digemakan dengan laungan takbir. Demokrasi kian di penghujung hayat, Khilafahlah yang akan menjadi penyelamat umat. Majlis akhirnya ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Farkhan.

Posted on 1:29 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

0 comments:

Post a Comment

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin