AL - ISRA' AYAT 82

AL - ISRA' AYAT 82

MARI MENYUMBANG UNTUK SAHAM AKHIRAT

RAWATAN AS - SUNNAH

My photo
Senawang, Seremban, Daulah Islamiah, Malaysia
Dan katakanlah:Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.Hubungi @ SMS saya di talian 017-4150340.

Ukhwah Islamiyyah

NUZUL AL QURAN – Turunnya Perintah dan Larangan Allah


“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].

17 Ramadhan sering diingati dan di peringatkan kepada kita setiap tahun. Tarikh yang di mana turunya kitab terakhir, yang memansuhkan kitab- kitab umat yang terdahulu, iaitu Al Quran. Peringatan yang sering dilontarkan adalah agar kita semua mengimarahkan hari-hari di bulan Ramadhan dengan membaca Al- Quran sebanyak- banyak yang mungkin. Malah, ada yang melakukan solat tarawikh dengan bacaan 1 juzuk daripada al-Quran pada setiap malam dengan harapan beliau akan mampu mengkhatamkan al-Quran semasa di bulan Ramadhan.

Tidak dapat dinafikan, amalan ini memang merupakan amalan yang baik dan terpuji. Malah, si pembaca akan mendapat ganjaran pahala bagi setiap bacaan al – Quran yang dilafazkannya. Namun begitu, kebanyakan daripada kaum Muslimin hari ini, mereka membaca al-Quran dan menghafalnya, tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya. Begitu juga, mereka sangat sensitif menjaga fizikal (mushaf) al- Quran, tetapi meremehkan, memperleceh, dan menolak hukum yang terkandung didalamnya. Allah dengan tegas mengingatkan golongan seperti ini di dalam al- Quran :

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. [TMQ al-Jumu‘ah (62):5].

Malah, sesetengah daripada umat akhir zaman ini menjadikan al- Quran sebagai kitab yang mempunyai kuasa ”mistik”, dimana mereka menjadikannya sebagai tangkal, pelaris jualan, penolak bala, penghalau syaitan tetapi Al- Quran yang sama tidak dijadikan pedoman, petunjuk dan pembentuk kesedaran dalam diri agar menjadi umat yang terbaik, yang terpancar hasil daripada terterapnya keseluruhan hukum Allah yang tedapat di dalam al- Quran dalam segenap aspek kehidupan mereka. Ada juga sebahagiannya yang hanya menjadikan ayat- ayat Allah ini sebagai bahan hiasan dalaman rumah yang menghiasi dinding- dinding rumah, tetapi tidak memahami langsung ayat tersebut dan lebih teruk sekiranya ada yang menganggap ayat- ayat Allah ini sebagai hasil seni yang sangat menakjubkan. Nauzubilahi min zalik!

Sering kita dengari umat Islam senantiasa mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup, tetapi pada masa yang sama mereka tidak menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur kehidupan. Umat Islam hanya memilih hukum-hakam tertentu yang ada di dalam Al-Qur’an untuk diamalkan dan mereka meninggalkan sebahagian besar hukum-hakam yang lain. Mereka mengambil ayat-ayat tentang akhlak tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang mua’malat. Mereka mengambil ayat-ayat tentang wudhu’ tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang hudud. Mereka mengambil ayat-ayat tentang puasa tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang jihad. Sebagai contoh, di dalam al-Quran Allah ada berfirman dengan lafaz yang sama dan hampir sama iaitu :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa [TMQ Al Baqarah (2) : 183]

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih.[TMQ AL Baqarah (2) : 178]

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [TMQ AL Baqarah (2) : 216]

Ketiga- tiga ayat di atas menggunakan lafaz perkataan ”kutiba” yang bermaksud ”telah diwajibkan keatas kamu”, yang memberi konotasi wajib untuk dilaksanakan. Namun begitu, kaum Muslimin pada masa sekarang berbondong- bondong menyahut seruan ayat tentang puasa, tetapi mengabaikan seruan Allah supaya menegakkan qishaash dan jihad. Walhal, kewajipan puasa, solat, zakat, dan haji adalah sama dengan kewajipan menerapkan hukuman qishaash dan melancarkan jihad oleh pemimpin kaum muslimin.

Di sini kita dapat melihat, bahawa mereka hanya memilih hukum-hukum yang mereka suka untuk diamalkan. Mereka berusaha menundukkan Al-Qur’an agar sesuai dengan hawa nafsu mereka. Mereka malah mengambil hukum kufur yang dibuat oleh penjajah dan meninggalkan hukum Allah. Dengan sebab inilah Allah menurunkan kehinaanNya ke atas mereka.

“.....apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang sangat berat.....” [TMQ Al-Baqarah (2):85].

Wahai umat Islam yang sentiasa dalam kasih sayang Allah sekalian. Kita mesti sedar bahawa, al- Quran yang diturunkan bukanlah hanya semata- mata untuk dibaca semata, tetapi ia mengandungi petunjuk sepanjang zaman, sebagaimana sabda Rasulullah :

“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara; jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].

Semoga peringatan Nuzul al Quran yang ringkas kali ini memberi kesedaran kepada kita semua agar bersama- sama mengembalikan hukum- hukum Allah di dalam kehidupan dan bukannya ayat- ayat Allah ini sekadar menjadi pemanis mulut dan penyedap telinga semata- mata.

“Dari Ali, radhiaAllahu ‘anhu, katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, bersabda:

"Awaslah, sesungguhnya akan berlaku fitnah". Aku bertanya: "Apakah jalan keluar darinya ya Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah. Di dalamnya terdapat kisah-kisah apa yang sebelum kamu dan pengkhabaran apa yang akan datang sesudahmu; dan hukum-hakam di antara kamu; Ia (Al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa sahaja yang meninggalkannya kerana sombong, akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk dari selainnya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran yang bijaksana; Ia adalah As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar atau berputar belit; dan para ulama pula tidak pernah puas darinya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata “Sesungguhnya kami mendengar bacaan Al-Qur'an yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya."; sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; dan sesiapa sahaja yang beramal dengannya, pahalalah ganjarannya; dan sesiapa sahaja yang berhukum dengannya, adillah ia; dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya ia menunjuk kepada Siratil Mustaqim (jalan yang lurus)." [HR Tirmizi dan Darimi].
Posted on 1:44 PM by Kamarol Azli Bahari and filed under | 0 Comments »

0 comments:

Post a Comment

RAWATAN AS SUNNAH

TERAPI URUTAN ISLAM

Blog Widget by LinkWithin