Senjata Nuklear - Hipokrasi Amerika Keparat
TOKYO, 9 Ogos - Datuk Bandar Nagasaki menyeru kepada pengharaman senjata nuklear, dalam satu upacara bagi menandakan ulang tahun ke-64 serangan Amerika Syarikat yang memusnahkan bandar raya Jepun tersebut serta membunuh 74,000 penduduknya. Dalam ucapan yang diberikan sejurus selepas 11:02 pagi iaitu masa yang sama bom plutonium AS membinasakan Nagasaki pada 9 Ogos 1945, Datuk Bandar Tomihisa Taue berkata, terdapat sedikit perkembangan mengenai penghapusan senjata nuklear tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Dia memetik ucapan Presiden Barack Obama pada April lalu, yang menyeru dunia membasmi senjata atom tetapi turut menyebut tentang ujian nuklear yang dilakukan oleh Korea Utara, Mei lalu. "Sebagai umat manusia, kita ada dua jalan di hadapan kita. Satu jalan bakal membawa kita ke arah dunia tanpa senjata nuklear, manakala satu lagi menjurus kepada kehancuran, bakal menyebabkan kita menderita lagi sebagaimana kemusnahan yang dialami Nagasaki dan Hiroshima 64 tahun lalu," katanya. Kerajaan Jepun mengenal pasti jumlah keseluruhan kira-kira 150,000 mangsa daripada serangan atom Nagasaki, termasuk mereka yang mati beberapa tahun kemudian ekoran cedera dan sakit terkena radiasi atom. Nagasaki diserang tiga hari selepas sebutir bom atom dijatuhkan di Hiroshima yang mengorbankan 140,000 orang. Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua. Hadirin bertakafur seketika tepat pada masa kejadian 64 tahun terdahulu, manakala loceng besar di Taman Keamanan bandar itu dibunyikan beberapa kali. Sebaik sahaja Taue menghabiskan ucapannya, sekumpulan burung merpati dilepaskan di taman yang menempatkan ratusan origami burung jenjang berwarna-warni yang digantung oleh penduduk tempatan. Sekitar 5,800 orang termasuk para pembesar dan wakil daripada 29 negara menghadiri upacara tersebut. Taue telah menjemput ketua-ketua negara yang memiliki senjata nuklear, termasuk Obama dan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev untuk ke Nagasaki. – AP Sumber: Utusan Malaysia, 10 Aug 2009
Ulasan
Sekiranya seluruh dunia menyeru kepada pengharaman senjata nuklear, maka langkah pertama yang seharusnya dilakukan adalah memaksa pihak yang memulakan serangan senjata nuklear buat pertama kalinya pada tahun 1945 iaitu Amerika Syarikat (AS) untuk memusnahkan kesemua stok simpanan senjata nuklear mereka yang dianggarkan sebanyak 10 ribu kesemuanya. Dan sekiranya AS tidak mahu berbuat demikian maka segala seruan mereka hanyalah hipokrasi semata-mata. Malah, menambahkan lagi hipokrasi rejim hina AS ini, mereka menakut-nakutkan pula dunia dengan isu senjata nuklear yang dimiliki oleh Korea Utara dan Iran, yang memulakan program nuklear untuk menjana tenaga sedangkan kedua-dua negara tidak pernah dan belum pernah menceroboh negara lain sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua. Malah kedua-dua negara tersebut terpaksa pula berdepan dengan ancaman kuasa besar AS yang mempunyai simpanan jumlah senjata nuklear yang paling banyak di dunia. Semenanjung Korea pernah mengalami perang saudara dengan campurtangan AS yang menyebabkan seramai kira-kira 3 juta orang terkorban.
Sementara Iraq, di bawah rejim Saddam Hussein dengan bantuan AS telah menceroboh Iran pada tahun 1980 menyebabkan kedua-dua negara berperang selama 8 tahun dan kehilangan nyawa kira-kira 1 juta orang. Disebabkan oleh ancaman dari kuasa besar yang sering membuat kerosakan ini, adakah dunia boleh menyalahkan Korea Utara untuk memiliki senjata nuklear, dan adakah seluruh dunia boleh menyalahkan Iran daripada mahu memulakan program nuklear mereka sendiri?
0 comments:
Post a Comment